Sunday 18 December 2011

Baitul Muslim I





Perkahwinan merupakan fitrah yang ALLAH anugerahkan ke atas manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Menurut Islam perkahwinan bukanlah atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan syahwat tetapi untuk memenuhi kehendak tujuan kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada  ALLAH. Kerana itu setiap Muslim mahupun Muslimah perlu merancang agar perkahwinan mereka tergolong di dalam rangka mendekatkan diri kepada ALLAH (taqarrub ila Allah).


Dalam sebuah hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda;
Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]


Hadis di atas menerangkan pedoman dari Rasulullah bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketakwaan. Muslimin dan Muslimat di sarankan agar memotivasikan diri untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai rangka mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.


Perkahwinan merupakan pangkal, sementara berbagai-bagai hubungan lain hanyalah cabang dari adanya hubungan perkahwinan. Dengan kata lain, jika tidak ada perkahwinan, tidak mungkin muncul status suami, isteri, anak, bapa, ibu dan sebagainya. Islam telah menganjurkan kaum Muslimin untuk melangsungkan perkahwinan. 


Ibnu Mas’ud r.a menuturkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut:
Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.


Seorang Muslim atau Muslimah yang baik selalu berharap kepada ALLAH agar mendapatkan pasangan yang dapat menjaga kehormatan dirinya, keluarganya dan kedekatannya kepada ALLAH SWT. Ia akan bersyukur jika ia berhasil memiliki pasangan yang soleh/solehah. Sebab ia telah mendapat keberuntungan yang paling besar. 


Rasulullah SAW bersabda:
Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim]


Seorang Muslim tidak dianjurkan menikahi seseorang kerana kecantikannya, kekayaannya mahupun darjatnya, tetapi dianjurkan agar memilih yang bertaqwa. 


Rasulullah SAW bersabda;
Janganlah kalian menikahi perempuan itu kerana kecantikannya, mungkin kecantikannya itu akan membawa kerosakan bagi mereka sendiri. Janganlah pula kalian menikahi mereka kerana mengharap harta mereka, mungkin hartanya itu akan menyebabkan mereka sombong. Akan tetapi, nikahilah mereka dengan dasar agamanya. Sesungguhnya hamba sahaya yang hitam lebih baik, asalkan ia beragama.” [HR Ibnu Majah]
 
Hadis di atas menuntut agar seseorang berkahwin kerana agama dan bukan kerana selainnya. Apa yang penting, setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana ALLAH. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana ALLAH, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman ALLAH SWT:


Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.” (ar-Rum (30):21)

No comments:

Post a Comment