Monday 12 December 2011

Wanita - dari kacamata Kristian & Islam III




Apa kata Al-Quran pula tentang wanita?

Maka apa pula ketetapan Al-Quran mengenai wanita? Memang wanita diperintahkan oleh ALLAH supaya menutup kepala mereka dan berpakaian sopan, tetapi di dalam Islam ini bukanlah lambang merendahkan diri atau menyerah kepada lelaki, sebaliknya ia adalah lambang kesucian, kesopanan dan ketakwaan kepada ALLAH.

Ini juga adalah sebagai tanda kepada semua lelaki yang berurusan dengannya supaya menghormatinya. Bandingkan keadaan ini dengan keadaan di Barat apabila seseorang bertemu dengan rahib atau paderi, bagaimana pakaian rahib dan paderi tersebut adalah tanda kepada mereka yang menemuinya untuk tidak berkelakuan atau bercakap yang tidak sopan.

Apabila wanita menjaga dan menutup aurat dengan baik, bermakna wanita itu mahal, bukan barang murah untuk dibuat pameran merata-rata. Suatu yang mahal itu mesti dijaga dengan rapi dan elok. Dan yang paling penting, ianya untuk mengelakkan dari menggoda dan merangsang nafsu lelaki, agar maksiat dan jenayah rogol dan seumpamanya dapat dielakkan.

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu, dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab (33) : Ayat 59 (juga lihat An-Nuur (24):31)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan, dan bertaubatlah kepadaALLAH, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ” (Surah An-Nuur (24) : 31)

Bagaimana pula dengan hak-hak wanita dalam Islam? 
Adakah benar mereka adalah “warga kelas dua”? Mari kita baca apa kata AlQuran:

“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang baik” (Surah Al-Baqarah (2) : 228)

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalanKu, yang berpegang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi ALLAH. Dan ALLAH pada sisiNya pahala yang baik.” (Surah Ali-’Imran (3) : 195)

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan ALLAH kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada ALLAHsebahagian daripada kurniaNya. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah An-Nisaa (4) : 32)

” Bagi lelaki ada bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian (pula) daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (Surah An-Nisaa (4) : 7)

“Barang siapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahu pun wanita, sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.” (Surah An-Nisaa (4) : 124)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada ALLAH dan RasulNya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah (9) : 71)

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl (16) : 97)

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum (30) : 21)

“Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barang siapa mengerjakan amal yang saleh baik lelaki mahu pun perempuan, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (Surah Al-Mukmin (40) : 40)

19 hadith tentang wanita

Berikut adalah petikan 19 hadith tentang wanita dari kitab Tanbihul Ghafilin.


1 - Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W. akan hal tersebut, jawab Baginda S.A.W., “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”.

2 - Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. ALLAH S.W.T. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3 - Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka ALLAH S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan ALLAH S.W.T.

4 - Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5 - Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6 - Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka ALLAH S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama ALLAH S.W.T.

7 - Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan ALLAH S.W.T. dan orang yang takutkan ALLAH S.W.T., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8 - Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9 - Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka ALLAH S.W.T.. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10 - Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11 - Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12 - Aisyah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah S.A.W, “Suaminya”. “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah S.A.W, “Ibunya”.

13 - Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14 - Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15 - Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16 - Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17 - Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi S.A.W) di dalam syurga.

18 - Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19 - Daripada Aisyah r.a. “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

Yang membezakan manusia hanyalah ketaqwaan

Walaupun ALLAH S.W.T. mengatakan bahawa lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita, tidak bermakna wanita itu kedudukannya hina di sisi lelaki. Akan tetapi wanita kedudukannya adalah sebagai penasihat, yang mana bukan satu kedudukan yang sembarangan, dan bukan seperti seorang hamba abdi. Dan kaum lelaki tidak boleh menzalimi kaum wanita.

"Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka, sebab itu maka Wanita yang saleh, ialah yang ta'at kepada ALLAH lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana ALLAH telah memelihara (mereka), wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pukullah mereka, kemudian jika mereka menta'atimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya, sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Surah An-Nisaa' 4 : 34)

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan melihat bentuk-bentuk tubuhmu dan harta kamu tetapi akan melihat isi hati kamu dan amal-amalmu”. (Hadith Riwayat Muslim, Shahihul Muslim, tafsir Ibnu Katsir juz 7 hal 322).

Sabdanya lagi yang bermaksud, “Tiada kelebihan seseorang terhadap yang lainnya melainkan dengan taqwa kepada ALLAH”. (Hadith Riwayat Abu Bakar Albazzar, tafsir Ibnu Katsir juz 7 hal 322).

Hanya Taqwa yang membezakan antara manusia dan tiada manusia yang dapat menentukan tahap KETAQWAAN seseorang melainkan ALLAH sahaja yang tahu. Ini bermakna kita tidak boleh membeza-bezakan kelebihan yang ada pada seseorang kerana kelebihan yang dipandang oleh ALLAH hanyalah taqwa dan hanya Dia sahaja yang tahu.

ALLAHU'ALAM.. 

No comments:

Post a Comment